fb fb fb fb fb

Aiman Athirah mahu fokus kepada kerja, enggan layan kritikan

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu

PUCHONG, 28 Julai - Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan mahu memberi tumpuan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata enggan melayan sebarang kritikan sesetengah pihak yang mendesaknya meletak jawatan susulan isu penajaan syarikat arak baru-baru ini.

"Saya telah menyatakan permohonan maaf seandainya saya melakukan kekhilafan.

"Selebihnya, saya mahu mengorak langkah maju ke hadapan dan terus menumpukan kepada kerja dan berkhidmat kepada rakyat. Insya-Allah kita akan melakukan yang terbaik.

“Di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kita ada banyak kerja lagi dan menjadi keutamaan saya memberi perkhidmatan terbaik selaku Timbalan Menteri,” katanya selepas progam Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Madani di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, hari ini.

Tambahnya, beliau tidak mahu terheret dengan apa jua isu yang cuba dipolitikkan segelintir setengah pihak.

"Saya mahu fokus kepada kerja dan tugas sebagai Ahli Parlimen Sepang," katanya.

Sebelum ini, Aiman yang juga Ketua Wanita AMANAH menjadi perhatian selepas beliau menghadiri satu majlis di sebuah sekolah vernakular dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak.

Bagaimanapun beliau telah memohon maaf jika ada pihak yang sensitif dengan gambar tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN