
KUALA LUMPUR, 22 Mac – Suasana Hari Raya Aidilfitri di ibu negara bukan sahaja diraikan rakyat tempatan, malah turut dimanfaatkan warga asing yang mengambil peluang cuti umum untuk bersiar-siar di sekitar ibu negara.
- Menara Berkembar Petronas dan lokasi tumpuan dipenuhi warga asing yang menikmati suasana perayaan.
- Sesetengah pekerja asing ambil cuti singkat, contohnya Vinot tiga hari dan Shamulmia empat hari, untuk bersiar dan memasak.
- Pelancong asing juga singgah semasa transit, seperti Muhamad Yusuf sebelum menunaikan umrah.
- Pelancong puji keramahan rakyat dan tertarik dengan tarikan seperti Batu Caves dan kuil Hindu.
Tinjauan RTM di beberapa lokasi tumpuan utama pelancong termasuk Menara Berkembar Petronas mendapati kawasan berkenaan dipenuhi warga asing yang meluangkan masa bersama rakan senegara serta menikmati suasana perayaan.
Seorang warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Vinot berkata beliau mengambil peluang cuti selama tiga hari untuk berjalan-jalan di sekitar ibu negara.
“Saya sudah dua tahun kerja di Kuala Lumpur. Hari ini cuti, jadi saya datang KLCC untuk jalan-jalan,” katanya.
Seorang lagi warga asing dari Bangladesh, Shamulmia berkata beliau yang telah bekerja di Malaysia selama 10 tahun turut memanfaatkan cuti Aidilfitri untuk bersantai bersama rakan-rakan.
“Saya kerja bangunan. Cuti empat hari, jadi jalan-jalan sahaja. Kami juga ada masak, seperti kari lembu, kambing dan ayam,” katanya.
Dalam pada itu, pelancong dari Indonesia, Muhamad Yusuf berkata beliau singgah di Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan menunaikan umrah.
“Saya transit di Malaysia, sempat melawat sekitar bandar sebelum ke lapangan terbang untuk ke Turki,” katanya.
Pelancong dari India, Chandana pula menyifatkan Malaysia sebagai destinasi yang menarik dengan masyarakat yang mesra.
“Kami datang bercuti bersama keluarga. Setakat ini Malaysia sangat baik dan rakyatnya sangat ramah,” katanya.
Seorang lagi pelancong dari Myanmar, Poonam berkata beliau tertarik dengan kepelbagaian tempat menarik termasuk Batu Caves dan kuil Hindu di sekitar Kuala Lumpur.
“Saya sangat suka Malaysia,” katanya.
Kehadiran warga asing dan pelancong itu sekali gus memeriahkan lagi suasana Aidilfitri di ibu negara, selain mencerminkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama.