fb fb fb fb fb

Manjung, Taiping, Kinta daerah kerap berlaku kemalangan di Perak - JPJ

Foto Fail

TAPAH, 6 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti tiga daerah panas di Perak yang kerap berlaku kemalangan jalan raya di musim perayaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata seramai 130 anggota penguat kuasa ditugaskan untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang tempoh operasi.

Jelas beliau, antara lokasi yang diberi tumpuan ialah di daerah Manjung, Taiping dan Kinta yang merekodkan jumlah kemalangan tinggi serta berisiko kepada pengguna jalan raya.

"Tiga lokasi ini adalah lokasi yang menjadi sasaran daripada pihak JPJ untuk membuat rondaan berkala yang lebih banyak lagi berbanding dengan lokasi-lokasi lain.

"Jadi ini yang telah diatur oleh pihak JPJ Perak dan juga dengan bantuan daripada agensi-agensi penguatkuasaan yang lain termasuk PDRM (Polis Diraja Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam) dan sebagainya," katanya kepada pemberita pada program 'Happy Hour Free Fuel, Free Road Fatality' di stesen Petronas Tapah, Perak.

Tambahnya, pegawai dan anggota JPJ Perak ditugaskan untuk memantau dan menguatkuasakan peraturan jalan raya dalam Op Khas sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 1 hingga 20 April ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM