Aidilfitri: Sekolah diberi cuti tambahan pada 18 Mac

Foto Fail/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan pada 18 Mac kepada semua sekolah di seluruh negara bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuti tambahan diberikan untuk memberi ruang kepada guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan menyambut Aidilfitri secara teratur.
  • Langkah ini selaras dengan komitmen KPM memprioritikan kesejahteraan warga pendidikan.
  • Sekolah Kumpulan A (Kedah, Kelantan, Terengganu) diperuntukkan cuti tambahan pada 19 Mac.
  • Sekolah Kumpulan B diperuntukkan dua hari cuti tambahan pada 19 dan 20 Mac.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemberian cuti tambahan itu bertujuan memberi ruang kepada guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut Aidilfitri dalam suasana yang teratur.

“Langkah ini juga selaras dengan komitmen KPM untuk sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan warga pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan Kalendar Akademik Sesi 2026, sekolah dalam Kumpulan A melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diperuntukkan satu hari cuti tambahan pada 19 Mac.

Sekolah dalam Kumpulan B yang merangkumi Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula diberikan dua hari cuti tambahan, iaitu 19 dan 20 Mac.- BERNAMA