fb fb fb fb fb

Ahmad Zahid diperintah bela diri atas 47 pertuduhan


KUALA LUMPUR, 24 Januari - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69 tahun, terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimiliki Ahmad Zahid.

Di bawah undang-undang jenayah, prima facie bermaksud pertuduhan yang, secara zahirnya, telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan melainkan tertuduh kemudiannya berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh pada bulan Mac, April, Mei dan Jun ini untuk prosiding membela diri dan dijangkakan seramai 37 saksi pembelaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pasukan pendakwaan dalam kes ini diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala pihak pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

Sebelum ini, Presiden UMNO itu didakwa atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap kesemua pertuduhan tersebut.

 

Media Baharu