fb fb fb fb fb

Ahli parlimen sokong usaha PM dalam isu Palestin

Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 November- Ahli Parlimen menyokong sepenuhnya usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuarakan pendirian negara berhubung situasi di Gaza.

Perkara itu senada dengan hasrat nasional merentasi perbezaan politik dan agama.

Ahli Parlimen Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi menyokong tindakan kerajaan dalam membebaskan Palestin daripada tekanan rejim Zionis Israel.

"Dalam hal ini, kita di Malaysia bersatu hati satu suara menyokong apa saja tindakan pihak kerajaan dan semua pihak untuk memastikan bahawa Palestin dibela dalam hal ini.

"...kerana isu Palestin sekarang ini, semua parti, semua pihak boleh berada bersama dengan Perdana Menteri untuk isu membebaskan Palestin daripada tekanan dan juga serangan Israel ini satu benda yang kita memang konsisten," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Petaling jaya Lee Chean Chung menyifatkan tindakan Perdana Menteri merupakan satu inisiatif membantu rakyat Palestin.

"Ini merupakan satu inisiatif yang kita katakan multiliteral untuk memberikan bantuan bahawa insiatif Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) supaya kita terus berikan bantuan kemanusiaan.

"...di samping mencari penyelesaian untuk menghentikan pencerobohan tidkka bertanggungjawab ini. Jadi salah satu usul sebenarnya untuk menyingkirkan israel daripada PBB dan ini merupakan satu yang serius dan dapat juga satu resolusi bersama dalam mesyuarat tersebut," katanya.

Terdahulu, dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi Perdana Menteri menegaskan komitmen Malaysia terhadap UNRWA dan peranan pentingnya dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.

Dalam pada itu, beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk menamatkan pencerobohan Israel yang berterusan, menyokong perjuangan Palestin dan menyokong resolusi yang dikeluarkan oleh Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam.

Sidang kemuncak di Riyadh itu diadakan untuk membincangkan langkah-langkah menamatkan genosid berterusan terhadap Palestin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI