fb fb fb fb fb

Ahli majlis PBT Melaka bakal diambil tindakan jika KPI kurang 50%

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

AYER KEROH, 8 Februari - Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka akan dinilai melalui Laporan Penilaian Prestasi Bulanan (LPNB) bagi memastikan setiap ahli majlis memainkan peranan yang sewajarnya.

Tegas Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ahli majlis yang mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kurang daripada 50 peratus untuk tempoh tiga bulan berturut-turut atau sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan perkhidmatan akan diambil tindakan.

Katanya, antara tindakan yang akan diambil termasuk menahan elaun bulanan dan boleh ditamatkan perkhidmatan.

"Kita juga akan memantau prestasi ahli-ahli majlis dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka yang baru dilantik dalam pelbagai sudut penyertaan, dalam kehadiran mesyuarat aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Kehadiran mereka itu menjadi ukuran pencapaian mereka yang akan kita terima laporan. pada setiap bulan," kata Ab Rauf kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Ahli Majlis dan Ahli Majlis Turut Hadir Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Melaka di MITC, di sini.

Pada majlis berkenaan Datuk Shadan Othman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.

Saifudin Abdul Karim sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Datin Sapiah Haron Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya.

TETITIA YUSOFF