
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang terus komited menjalankan amanah serta tanggungjawab ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
- Seri Paduka Baginda menyanjung pengorbanan anggota keselamatan yang terus bertugas demi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat.
- Baginda mendoakan anggota keselamatan sentiasa dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan urusan sepanjang bertugas.
- Seri Paduka Baginda menasihati rakyat mematuhi peraturan jalan raya, menjaga keselamatan dan tidak tergesa-gesa semasa pulang ke kampung.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi pengorbanan anggota terlibat yang tetap bertugas demi memastikan keamanan, ketenteraman awam serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, walaupun pada ketika masyarakat lain meraikan lebaran bersama keluarga.
Baginda turut mendoakan agar semua anggota keselamatan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalankan tugas.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, hari ini.
Pada perkembangan lain, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan nasihat kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, khususnya semasa pulang ke kampung halaman bagi menyambut sambutan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Seri Paduka Baginda bertitah agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan diri serta tidak tergesa-gesa ketika memandu demi mengelakkan kejadian tidak diingini.