KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bermula dari peringkat sekolah rendah bagi membendung gejala berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook dan Instagram rasmi, Seri Paduka Baginda menzahirkan kebimbangan sekiranya budaya buli tidak dibendung sejak awal, ia berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang.
"Buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi. Anak-anak perlu diberi penerangan sejak kecil supaya mereka memahami erti saling menghormati dan berdisiplin," titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menegaskan penggubalan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 membuktikan komitmen kerajaan membanteras isu buli secara tegas.
Baginda bertitah, usaha itu memerlukan kerjasama merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Istana Negara, yang mempersembahkan komitmen kementerian menangani isu buli serta memberi taklimat mengenai persiapan Sambutan Hari Kebangsaan 2025.