KUALA LUMPUR, 22 Jun- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Raja Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim turut mengiringi baginda.
Sesi mengadap bersama-sama Sultan Ibrahim berlangsung kira-kira dua jam di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
"Saya juga telah membawa Raja Bhutan ke sekitar Johor Bahru dan Baginda telah menyatakan hasrat datang semula bersama keluarga untuk bercuti di Johor.
"Baginda juga memanjangkan hasrat menjemput saya ke Bhutan dalam mengeratkan hubungan dua hala antara Bhutan dan Malaysia," titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Facebook.
Tetamu diraja turut diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari bersama-sama Seri Paduka Baginda dan Pemangku Sultan Johor.