KUANTAN, 26 November- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap agar lebih ramai atlet anak Pahang akan dilahirkan dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Titah baginda, ia dapat dilaksana melalui program-program pembangunan yang dijalankan di Stadium Darul Makmur.
Seri Paduka Baginda bertitah, stadium yang dibina pada tahun 1970-an dan menjadi mercu tanda negeri itu, telah berjaya melahirkan ramai atlet anak Pahang sehingga mampu melakar nama hingga ke peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang sukan diceburi.
"Kerana sewaktu terbinanya Stadium Darul Makmur, ramai anak-anak muda menjadi jaguh anak Pahang di peringkat antarabangsa, syabas, syabas dan syabas.
"Saya berharap dalam masa yang terdekat, jika diizinkan Allah, 50 tahun lagi kita akan lihat akan lahir lebih ramai jaguh-jaguh yang baharu akan dilahirkan di negeri Pahang melalui program-program pembangunan daripada stadium ini,"titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur, di Kuantan, malam tadi.
Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sambutan yang dihadiri kira-kira 15,000 orang itu, turut dimeriahkan dengan konsert yang menampilkan artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Ameng Spring dan Ara Johari selain persembahan 420 murid sekolah sekitar daerah Kuantan.
Baginda berdua turut berkenan mengelilingi stadium itu untuk beramah mesra dengan rakyat jelata yang hadir.