fb fb fb fb fb

Agong rasmi tugu peringatan kapal perang British

Al-Sultan dan Tunku Azizah pada perasmian Tugu Peringatan HMS Repulse dan HMS Prince of Wales hari ini

KUANTAN, 10 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Tugu Peringatan kepada dua kapal perang British iaitu HMS Prince Of Wales dan HMS Repulse di Teluk Cempedak, sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Pembinaan tugu tersebut mendapat kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) sempena memperingati ulang tahun ke-82 kapal perang yang ditenggelamkan itu

Dua kapal itu ditenggelamkan di 61 batu nautika di luar pantai sini melalui serangan pengebom Jepun pada 10 Disember 1941.

Sauh “Auxiliary Anchor” dipercayai tinggalan daripada HMS Repulse yang dihadiahkan United Kingdom kepada Malaysia turut diletakkan di hadapan tugu tersebut.

Sauh terbabit sebelum ini diselamatkan daripada aktiviti penyeludupan haram pada tahun 2015 dan dipamerkan di Muzium Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dipindahkan ke sini.

Majlis perasmian memorial itu turut dihadiri wakil Kerajaan Negeri Pahang, anggota kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tetamu kenamaan asing termasuk Pesuruh Jaya Tinggi British, Ailsa Terry CMG dan cucu kepada Kapten HMS Prince Of Wales, Kapten John Leach iaitu Henrietta Wood.

SITI AISHAH BINTI MD ISA