fb fb fb fb fb

Agong, Raja permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Gawai dan Pesta Kaamatan

Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Pesta Kaamatan serta Hari Gawai yang disambut hari ini dan esok mempamerkan kemajmukan masyarakat Malaysia kepada dunia.

Menurut hantaran di akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa dua perayaan itu juga sebagai peringatan untuk bersyukur.

"Sebagai tanda kesyukuran di akhir musim menuai, Yang di-Pertuan Agong bertitah ia juga satu peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa untuk bersyukur ke atas rezeki serta nikmat yang dikurniakan mengikut amalan masing-masing.

"Sultan Ibrahim juga bertitah perayaan ini mempamerkan kepada dunia tentang kemajmukan masyarakat Malaysia, masing-masing dengan warisan budaya tradisional yang unik," menurut hantaran itu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada rakyat yang meraikannya.

Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut di Sabah hari ini, manakala Hari Gawai di Sarawak jatuh pada Sabtu dan kedua-dua perayaan diraikan sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN