KUALA LUMPUR, 5 Mei - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Singapura selama dua hari bermula esok atas jemputan Presiden negara berkenaan Tharman Shanmugaratnam.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia merupakan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.
Menurut kenyataan itu keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua akan diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
"Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan menerima Sambutan Negara di Istana, Singapura, diikuti dengan pertemuan dengan Presiden Republik Singapura serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Singapura.
"Seri Paduka Baginda turut dijadualkan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, dan Timbalan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong," katanya.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan ke Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.
"Lawatan Negara itu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang dinamik antara Malaysia dan Singapura serta mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk mengerat dan mempelbagaikan jalinan kerjasama," katanya.