(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah)
KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di atas pemergian anak lelaki beliau Hammad Zulkifli awal pagi Ahad.
Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut catatan Facebook Istana Negara.
Sementara itu Zulkifli turut berkongsi hantaran Istana Negara di Facebook beliau.
“Menjunjung kasih Tuanku berdua atas keprihatinan jua titah ucapan yang mententeramkan jiwa patik pacal sekeluarga. Ampun Tuanku,” kata Zulkifli dalam catatan itu.
Dalam hantaran terdahulu, beliau memberitahu Allahyarham Hammad, 22, meninggal dunia pada 5.22 pagi Ahad kerana kanser right soft tissue sarcoma tahap empat ke lima dan dikebumikan di Nilai pada 11.30 pagi.- BERNAMA
(Tangkap layar facebook Istana Negara)