fb fb fb fb fb

JKR tutup kawasan lubang benam di Jalan Bagan Lalang

(Foto hiasan)

BUTTERWORTH, 3 Oktober- Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Utara (SPU) telah mengambil tindakan segera dengan menutup keseluruhan kawasan yang terdapat lubang benam di Jalan Bagan Lalang di sini bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku dan meletak papan tanda sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya.

Pihak Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd (IWK) juga telah berada di lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan saluran kumbahan serta tindakan pembaikan berkaitan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Jurutera Daerah JKR SPU malam ini.

"Sehubungan itu, orang ramai terutama pengguna kenderaan yang melalui Jalan Bagan Lalang itu diminta berhati-hati ekoran terdapat lubang benam di kawasan tersebut," katanya.

Menurut Pejabat Jurutera Daerah JKR SPU pihaknya menerima laporan berhubung lubang benam itu kira-kira 4.30 petang Ahad dan kakitangannya terus bergegas ke lokasi bagi melihatnya.

Orang ramai terutama pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Bagan Lalang di sini, gempar selepas kemunculan lubang benam pada permukaan jalan di kawasan itu petang Ahad dan berita itu tular di media sosial.

"Berdasarkan pemantauan awal, kejadian itu merupakan lubang benam pada permukaan jalan di kawasan saluran pembentung Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd di Jalan Bagan Lalang. Lokasi kejadian adalah berhadapan dengan Greenish City Nursery.

Panjang kawasan yang terlibat adalah 100 meter namun laluan tersebut masih di buka kepada kenderaan ringan, setakat ini juga tiada jalan alternatif disediakan, bagaimanapun akan disediakan sekiranya perlu," menurut kenyataan itu.- BERNAMA

(Foto hiasan)

Media Baharu