fb fb fb fb fb

Agong kurnia pingat kepada pengawal keselamatan HRPB

R. Yogeswary

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Pengawal keselamatan, R. Yogeswary yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat Ipoh, Perak antara 298 penerima pingat pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Yogeswary, 44, yang tular di media sosial kerana sering membantu pesakit dan pelawat HRPB itu dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

"Kita tahu hospital itu tempat yang orang datang dengan kesedihan, memerlukan pertolongan. Jadi, saya buat yang terbaik dan saya akan usaha lagi untuk memudahkan kerja di sana.

""Saya seronok bekerja. Kita kena happy (gembira) dengan kerja kita," katanya kepada pemberita di Istana Negara.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu turut meluahkan rasa terharu kerana khidmatnya sebagai pengawal keselamatan sejak lebih lima tahun lalu dihargai oleh masyarakat termasuk pihak Istana.

"Saya gembira sangat dan ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat, syarikat dan kakitangan hospital, serta semua yang kenal aunty ini.

"Jika bukan mereka, saya tidak akan dapat pingat ini," tambahnya.

Sebelum ini, Yogeswary bukan sahaja tular di media sosial, malah meraih perhatian Menteri Kesihatan terdahulu, Dr Zaliha Mustafa yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

SITI AISHAH BINTI MD ISA