fb fb fb fb fb

Agong dan Raja Permaisuri tiba di Singapura

Raja Zarith Sofiah, Sultan Ibrahim (kiri) bersamalaman dengan Lee Hsien Loong dan isterinya Ho Ching/Foto Facebook Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 6 Mei- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Singapura hari ini bagi memulakan lawatan negara sehingga esok.

Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Januari lalu dan atas jemputan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.

Keberangkatan Seri Paduka Badinda berdua turut diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Baginda kemudiannya menerima Majlis Sambutan Negara di Istana, Singapura, diikuti dengan pertemuan bersama-sama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam dan juga Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang bakal melepaskan jawatannya pada 15 Mei depan.

Tharman juga akan meraikan Seri Paduka Baginda berdua dalam satu Majlis Santapan Negara.

Pada lawatan hari kedua, Sultan Ibrahim juga telah berkenan untuk melawat Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.

RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI