KUALA LUMPUR, 11 Mac- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di seluruh negara ini.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Seri Paduka Baginda menyeru umat Islam supaya merebut peluang mempertingkatkan amal ibadah dan mengeratkan ukhuwah sesama umat selain mengetepikan sebarang perselisihan, perbalahan dan perseteruan bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mengajak seluruh umat Islam untuk bersama Baginda bermunajat dan berdoa semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada apa jua bentuk ancaman, bencana dan musibah,"menurut hantaran tersebut.