fb fb fb fb fb

Agihan dividen tertinggi TH: 'Beruntung pendeposit Tabung Haji'

Agihan dividen tertinggi Tabung Haji menerima reaksi positif daripada pendeposit

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Pengumuman agihan keuntungan Tabung Haji sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, disambut penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh pendeposit.

Reaksi positif itu menggambarkan keyakinan orang ramai terhadap prestasi kukuh institusi simpanan Islam itu yang terus memainkan peranan penting dalam menyokong impian umat Islam menunaikan ibadah haji.

Pembantu Tadbir, Muhammad Rizal Zainal menyifatkan agihan tersebut sangat bermakna kepada semua pendeposit.

“Dividen ni memang baguslah untuk semua yang ada simpanan dekat Tabung Haji. Sebabnya, dalam tempoh tujuh tahun ni, tahun ni yang paling tinggi.

"Jadi, siapa yang ada buat simpanan dalam Tabung Haji, duit kalau dah cukup semua tu, insya-Allah mereka boleh dapat pergi haji dengan lebih awal lagi kan,” katanya.

Bagi peniaga, Salina Ali, peningkatan kadar keuntungan ini mampu menarik lebih ramai penyimpan baharu.

“Bagi saya, sangat baguslah. Sebab ini boleh menarik lebih ramai orang untuk menabung dalam Tabung Haji. Kalau boleh, lagi bertambahlah setiap tahun macam tu,” katanya.

Manakala peniaga lain, Desi Rasunan, turut melihat ia sebagai satu galakan positif.

“Beruntunglah yang mana melabur dalam Tabung Haji tu, memang baguslah sebab kita memudahkan rakyat untuk menabung. Lagipun ada kelebihan dia dekat situ. Tabung Haji ni pun tabung Islam,” katanya.

Usahawan, Afifah Alias pula menyifatkan kejayaan ini adalah hasil daripada penambahbaikan struktur Tabung Haji yang dilakukan sebelum ini.

“Terutamanya untuk Tabung Haji, perancangan ekonomi ini memang baguslah. Sebelum ini pernah buat satu rombakan untuk Tabung Haji, jadi yang sekarang ini itu adalah antara kesan jugaklah. Jadi benda yang positif kita kena sokong,” katanya.

Sementara itu, pesara, Kamal Harun yang juga bakal jemaah haji tahun ini bersyukur atas agihan tersebut.

“Syukur, alhamdulillah. Tabung Haji tahun ini telah mengeluarkan dividen yang paling tinggi dalam sejarah, sekurang-kurangnya 3.25 peratus. Jadi, sebagai penyimpan dan juga bakal haji tahun ini, insya-Allah kita doakan agar Tabung Haji terus meningkat untuk kebaikan bersama,” ujarnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN