PUTRAJAYA, 5 Februari - Lima penumpuan utama digariskan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang merangkumi membangunkan modal insan berkualiti, menghayati nilai-nilai murni, membangunkan organisasi dinamik, memperkukuhkan sinergi awam dan swasta serta merakyatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan pembaharuan tersebut bagi merealisasikan pembaharuan ke arah kualiti perkhidmatan awam yang lebih telus, berintegriti dan diyakini.
Selain memberikan perkhidmatan dengan keupayaan yang lebih baik dalam menyelesaikan aduan serta memahami keperluan rakyat.
"Diharapkan 2025 menjadi titik tolak yang lebih bermakna kepada perkhidmatan awam untuk terus memperkasakan sistem penyampaian demi memenuhi harapan rakyat dan negara.
“Anggaplah setiap tugasan yang diberikan sebagai satu ibadah yang bukan sahaja mendatangkan keberkatan tetapi juga mencipta keseronokan bekerja,” kata Ahmad Dahlan ketika meyampaikan amanat 2025 KPPA, di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM50 juta turut disalurkan kepada 28 kementerian bagi melaksanakan kursus dan latihan jangka pendek dalam meningkatkan kompetensi pegawai semua gred dan skim perkhidmatan.
Ahmad Dahlan turut mengesa penjawat awam agar memastikan pekhidmatan awam terus relevan, cekap dan berdaya saing dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, termasuk memanfaatkan penggunaan teknologi digital dalam mempermudah sebarang urusan.
"Bagi saya tidak ada sebab untuk penjawat awam tidak dapat melaksanakan dengan sebaik mungkin kerana kerajaan telah memenuhi segala apa yang dijanjikan selama ini seperti pelarasan gaji.
"Jadi bagi saya jangka masa itu adalah sebagai sesuatu yang sangat baik untuk kita mengukur tahap kepantasan kerana sekarang ini dengan dunia yang semakin canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya digitalisasi kepantasan sangat diperlukan," katanya lagi.