PUTRAJAYA, 6 Februari- Seramai 127 warga asing telah diperiksa oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dalam satu Operasi Penguatkuasaan Imigresen di sebuah kondominium di Putrajaya, awal pagi tadi.
Daripada jumlah tersebut, 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan 23 lelaki dan 2 perempuan terdiri daripada warganegara Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Myanmar.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi yang digerakkan hampir dua jam itu membabitkan seramai 141 anggota dan pegawai.
Operasi yang dijalankan hasil aduan orang awam mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk setempat.
Menerusi risikan, pihaknya telah menyerbu beberapa buah rumah yang telah dikenal pasti.
"Hasil daripada pemeriksaan, kita dapati antara kesalahan adalah tinggal lebih masa. Majoriti yang ada di sini, bekerja di Putrajaya dan mereka mengatakan dokumen ada bersama majikan."
"Kita minta mereka hubungi majikan malam ini juga, jika majikan dapat membuktikan pekerja yang sah dan kita bebaskan, tidak perlu ke ibu pejabat," kata Datuk Ruslin kepada pemberita selepas menyertai operasi berkenaan, awal pagi tadi.
Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.