fb fb fb fb fb

Ada saksi lihat Ustaz Hafiz masih hidup - Polis Kulim

Ustaz Hafiz

ALOR SETAR, 21 November- Mohd Hafiz Jasmi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hafiz, 38, yang hilang di hutan Pusat Rekreasi Sedim di Kulim, Kedah sejak 10 November lalu dipercayai masih hidup berdasarkan petunjuk baharu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, terdapat saksi tampil melaporkan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Ria Padang Serai itu dilihat keluar dari kawasan pusat rekreasi tersebut dengan sebuah kereta lain.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya berhenti mencari Ustaz Hafiz di kawasan terbabit atas faktor keselamatan.

"Ada saksi mata nampak dia beredar dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta.

"(Selain itu) hentikan pencarian di sana. Kita tak nak mencari orang lain (kehilangan orang lain pula)," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ustaz Hafiz yang turut melibatkan bomba, Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung dihentikan selepas lima hari mangsa dilaporkan hilang berikutan tiada petunjuk.

SAR  sebelum ini dilakukan sehingga ke puncak Gunung Bintang.

Kereta Ustaz Hafiz juga ditemui di kawasan pusat rekreasi itu dalam keadaan baik dan berkunci serta tiada unsur jenayah.
 
Sejak kehilangan Ustaz Hafiz, ramai pihak tampil membantu untuk mencari mangsa termasuk kumpulan paranormal.

Kes terbabit disiasat sebagai orang hilang.

SITI AISHAH BINTI MD ISA