
PUTRAJAYA, 13 Januari – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyambut baik pembatalan penganjuran acara songsang ‘Glamping With Pride” yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini di Hulu Langat, Selangor.
- Pembatalan acara "Glamping With Pride" disambut baik sebagai langkah mengekang usaha normalisasi LGBT di negara ini.
- Jabatan Perdana Menteri (HEA) menegaskan tiada kompromi terhadap aktiviti yang dianggap melanggar undang-undang berkaitan seks luar tabii.
- Penghargaan diberikan kepada Sultan Selangor, PDRM dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor atas tindakan pantas dan tegas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menerusi kenyataan menegaskan, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang usaha menormalisasi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
“Hal ini memandangkan ia jelas merupakan satu kesalahan bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Seksyen 25) serta Kanun Keseksaan (Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D) yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
“Pihak JPM (HEA) menjunjung kasih Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas keprihatinan Baginda, dan mengucapkan sekalung tahniah buat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, atas tindakan pantas dan tegas,” menurut kenyataan itu.