SEREMBAN, 22 Februari- Abdul Hanis Mohd Daud dinobatkan sebagai Johan Qari manakala Husna Saifulzaman dinobatkan Johan Qariah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan 1446 Hijrah/ 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini malam tadi.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan berangkat ke Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan.
Turut berangkat anakanda baginda Tunku Zain Al-‘Abidin dan keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada majlis itu baginda turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,00, hadiah khas bernilai RM12,000 serta hadiah iringan.
Johan Qari Negeri Sembilan Abdul Hanis Mohd Daud berkata, dia bersedia untuk bertanding pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Perlis.
"Insya-Allah untuk persediaan untuk ke Perlis peringkat kebangsaan akan diteruskan termasuk latihan menjaga suara dan persediaan-persediaan lain bersama mentor-mentor," katanya.
Sementara itu Johan Qariah Negeri Sembilan Husna Saifulzaman berkata, dia akan mempertingkatkan latihan pernafasan sebelum ke pertandingan itu.
"Untuk persediaan ke Perlis ini saya rasa mungkin kena mempertingkatkan lagi latihan pernafasan selain berusaha untuk mengemaskan lagi susunan lagu supaya dapat mencapai markah yang pebih baik daripada di peringkat negeri," katanya.
Kedua-dua mereka akan mewakili Negeri Sembilan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada bulan April di Perlis.