fb fb fb fb fb

909 Aduan Suri diterima, 95 peratus berjaya diselesai

(Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh menyantuni pengunjung dengan membuat Jualan Happy Hour
sempena Jualan Rahmah untuk ayam dan telur ayam di Lotus’s Tebrau/FOTO Facebook Fuziah Salleh)

JOHOR BAHRU, 8 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menyelesaikan sebanyak 95 peratus daripada 909 aduan yang diterima menerusi Aduan Suri sejak dilancarkan pada 11 Januari lalu.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata kebanyakan aduan yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp ialah berkaitan penipuan pembelian dalam talian, ketiadaan bekalan dan kenaikan harga barang.

Fuziah berkata setiap aduan juga akan diambil tindakan dalam tempoh 14 hari berbanding 21 hari sebelum ini.

"Malah menerusi inisiatif Aduan Suri juga maklum balas akuan penerimaan aduan segera dibuat dalam tempoh dua jam berbanding sehari sebelumnya.

"Menerusi statistik penerimaan aduan menunjukkan inisiatif Aduan Suri mampu memperkasakan hak suri rumah sebagai golongan pembeli dan pengguna," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Aduan Suri dan Program Jualan Rahmah peringkat Johor di sini, hari ini.

(KPDN melancarkan Aduan Suri peringkat Negeri Johor yang diadakan di Pasaraya Lotus’s Tebrau, Johor Bahru/FOTO Facebook Fuziah Salleh)

Tambahnya, pada pelancaran Aduan Suri di Kedah bulan lalu, sebanyak 500 pelekat peti sejuk yang mempunyai kod QR saluran aduan melalui WhatsApp telah diedarkan.

"Melalui mekanisme ini, pengadu hanya imbas kod QR dan ianya akan disalurkan terus ke aplikasi aduan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Johor menjadi lokasi kedua kita edarkan lagi 500 pelekat peti sejuk Aduan Suri," katanya lagi.

Menurut Fuziah, pihaknya berhasrat memperkasakan penggunaan Aduan Suri dengan meletakkan kod QR itu di pasar raya dan kedai.

Katanya, ketika ini pihaknya dalam perbincangan untuk kemas kini sistem agar lebih efisien.

Tahun lalu, KPDN merekodkan 29,965 aduan kepenggunaan dan daripada jumlah itu 13,755 aduan daripada pengadu wanita.

Dalam tempoh sama, aduan berkaitan transaksi dalam talian adalah tertinggi diterima iaitu sebanyak 8,847, diikuti aduan mengenai harga barangan (7,259 aduan) dan perkhidmatan mengelirukan (6,095 aduan).

Media Baharu