fb fb fb fb fb

90 tan sisa banjir dibersihkan di Kota Tinggi

FOTO RTM

KOTA TINGGI, 15 Januari - Sebanyak 90 tan sisa sampah banjir telah dibersihkan SWM Environment, di daerah paling terjejas banjir, Kota Tinggi, sejak Operasi Pembersihan Pasca Banjir dijalankan bermula Jumaat lalu.

Pengurus Kawasan Servis Johor Selatan Dua SWM Environment, Mohd Asrif Samion berkata, kerja pembersihan di Pusat Bandar Kota Tinggi kini berada pada kadar 90 peratus, dan dijangka siap menjelang esok (Selasa).

Operasi berkenaan melibatkan lebih 130 anggota SWM Environment dari Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.

Antara kawasan pembersihan yang terlibat ialah Taman Kota Jaya, Taman Mawai Jaya, dan Kampung Kelantan.

Kerja pembersihan sisa banjir juga turut dijalankan di daerah Mersing.

Selain itu, SWM Environment juga melakukan Operasi Kutipan Sisa Pepejal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), menerusi kemudahan tong sampah, dan laluan kutipan sisa pepejal di setiap PPS yang aktif.

"Untuk SWM Kota Tinggi ini, kita telah menyusun perancangan persiapan awal untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kita juga fokus kepada Kawasan berisiko tinggi, pada bulan Oktober lepas.

"Kita juga memberi kutipan ataupun bantuan kutipan sisa pepejal, di Kawasan PPS, ini yang kita bersihkan",kata Mohd Asrif yang ditemui semasa Operasi Pembersihan Pasca Banjir di sini.

Mohd Asrif turut memaklumkan, pihaknya menerima banyak permohonan daripada penduduk Kota Tinggi, untuk mendapatkan tong sampah SWM baharu, kerana tong sampah sedia ada hilang semasa banjir.

Untuk itu, para penduduk dinasihatkan membuat laporan polis terlebih dahulu, sebelum memohon untuk tong sampah baharu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD