fb fb fb fb fb

9 tindakan antilambakan terhadap pengeksport China, 2015-2023

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Bermula 2015 hingga tahun lepas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan terhadap pengeksport negara China.

Tindakan itu bagi melindungi industri tempatan daripada amalan perdagangan tidak adil.

Timbalan Menteri MITI Liew Chin Tong berkata 68 tindakan antilambakan dan tiga tindakan pelindung turut dikuat kuasa terhadap barangan import yang dilambak atau diberi subsidi sejak 1993.

"Kerajaan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dilindungi daripada kesan perdagangan yang tidak adil, berikutan kemasukan barangan import yang murah dalam kuantiti yang besar.

"Ini termasuk dari negara China ke pasaran Malaysia melalui penguatkuasaan remedi perdagangan. Antara langkah remedi yang diambil adalah pengenaan duti antilambakan, duti timbal balas dan duti pelindung," kata Liew Chin ketika menjawab soalan daripada Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan, di Negara.

Ketika ini MITI dalam proses mengkaji semula Akta Timbal Balas dan Anti Lambakan 1993 yang dijangka akan dibentangkan pada Januari 2025.

Sementara itu Liew Chin berkata, kementeriannya tidak ada sebarang kajian khusus mengenai isu lambakan produk dari negara China ke dalam pasaran tempatan, kerana MITI tidak hanya menyasarkan kepada negara tertentu sahaja.

Tindakan antilambakan biasanya dijalankan dengan sasaran syarikat atau pengeksport dan bukannya disasarkan kepada syarikat atau satu-satu negara sahaja.

"Tetapi kalau Tan Sri (Tan Sri Datuk Low Kian Chuan) setuju, MITI boleh berkerjasama dengan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan persatuan-persatuan industri lain bagi menjalankan kajian khusus terhadap keadaan produk-produk dari negara China,"

TETITIA YUSOFF