KULAI, 21 April- 87 individu termasuk lapan warga asing ditahan hasil operasi ke atas 87 premis dipercayai terlibat pelbagai kegiatan perjudian menerusi Op Dadu yang dijalankan secara serentak di seluruh Johor bermula 17 hingga 20 April.
Ketua Polis Johor Komisioner Polis M. Kumar berkata, tangkapan melibatkan 69 lelaki dan 18 wanita berusia 18 hingga 64 tahun.
"Saya memberi amaran kepada pengusaha atau operator pusat-pusat ini supaya menghentikan aktiviti mereka dengan segera. Sekiranya mereka degil mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang keras dan tegas.
"Saya sebagai Ketua Polis Johor tidak akan kompromi dalam membanteras aktiviti atau elemen perjudian di Johor," kata M. Kumar.
Mereka melakukan kegiatan itu dengan berselindung di sebalik perniagaan yang dijalankan seperti kedai kopi dan runcit.
Turut dirampas, 26 buah mesin pencetak, 86 buah telefon bimbit, 112 keping kertas catitan dan wang tunai berjumlah RM12,612.
Tindakan pemotongan elektrik dan pembatalan lesen perniagaan akan dilakukan bagi membanteras jenayah berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a), Seksyen 4B (a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.