fb fb fb fb fb

76 individu terselamat insiden tanah runtuh Akademi SPRM

KUALA LUMPUR, 25 April- 76 individu yang terdiri 38 pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan 38 pekerja di Institusi Integriti Malaysia diarah meninggalkan bangunan itu susulan kejadian tanah runtuh tengah hari tadi.

Bagaimanapun, kesemua mangsa dilapor selamat dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Kejadian berlaku di hadapan pintu masuk bangunan Akademi SPRM sehingga meruntuhkan sebuah pondok kawalan, dengan runtuhan dianggarkan membabitkan keluasan 30 x 60 meter persegi.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mula beroperasi selama 24 jam di kawasan kejadian.

"Untuk hari ini sahaja seramai lebih 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertugas di sini dan kami sentiasa berhati-hati kerana pergerakan tanah masih berlaku manakala cuaca juga tidak begitu baik apabila hujan lebat sejak petang tadi.

"Siasatan awal Forensik Jabatan Kerja Raya mendapati tanah runtuh tersebut berpunca daripada takungan air di luar pagar bangunan dan kesan pecahan saluran air dalam bangunan tersebut."

Kongsinya, terdapat beberapa kenderaan masih terperangkap di dalam kawasan kejadian.

"Ketika ini pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syabas telah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya."

(Tanah runtuh di Akademi SPRM)

Media Baharu