76 dilantik sertai tribunal, majlis gig baharu, perkukuh Akta Pekerja Gig 2025

Ramanan bersama anggota Tribunal Pekerja Gig dan Majlis Perundingan Gig yang menerima watikah pelantikan hari ini di ibu negara / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 April Seramai 50 individu berpengalaman luas dalam perundangan buruh dilantik menganggotai Tribunal Pekerja Gig (TPG) hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan anggota Tribunal dan Majlis Perundingan Gig bertujuan memperkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 secara cekap, telus dan berkesan.
  • Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar, menjadi perantara dan membuat keputusan bagi menyelesaikan pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak.
  • Kementerian mengadakan hampir 400 sesi libat urus Okt 2024 hingga Ogos 2025 melibatkan pelbagai pihak, menafikan dakwaan tiada konsultasi.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, pelantikan itu sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang mula berkuatkuasa 31 Mac lepas.

Turut dilantik, 26 individu yang menganggotai Majlis Perundingan Gig (MPGig) bagi menangani isu utama termasuk pendapatan pekerja GIG.

“Sekiranya ada sebarang pertikaian antara pekerja gig dan entiti kontrak, tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar, menjadi perantara serta membuat keputusan terhadap pertikaian berkenaan, “katanya.

Beliau terdahulu menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah dan Sijil Pelantikan Anggota Tribunal Pekerja Gig (TPG) dan Majlis Perundingan Gig (MPGig) di ibu negara.

Antara perkara utama yang dibincangkan pada mesyuarat majlis itu termasuk cadangan kadar pendapatan minimum bagi pekerja gig melalui keputusan bersama antara kerajaan, pekerja dan entiti kontrak

Tambahnya, pelantikan itu juga bagi memastikan kedua-dua institusi utama berkenaan diterajui individu berpengalaman agar menjamin pelaksanaan yang cekap, telus dan berkesan.

Sementara itu, beliau menafikan dakwaan Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mendakwa tiada sesi libat urus diadakan sebelum penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025.

Tegasnya, kementerian telah melaksanakan hampir 400 sesi libat urus bagi tempoh Oktober 2024 hingga Ogos 2025 melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil MTUC.
.