fb fb fb fb fb

750 anggota dan pegawai polis dikerah ke lima negeri terjejas banjir

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Lebih 700 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerah ke lima negeri yang masih terjejas banjir.

Selain kekuatan sumber manusia, 144 aset PDRM turut digerakkan ke lokasi berkenaan.

Bagaimanapun menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berdasarkan laporan berkala, keadaan banjir setakat ini lebih baik berbanding sebelumnya.

"Setakat ni, kita telah mengerahkan 750 anggota dan pegawai serta aset-aset pasukan melibatkan 47 buah bot, 32 buah lori, 59 pacuan empat roda dan enam van atau pun ambulan.

"Ketika ini, masih ada lagi lima negeri yang menghadapi masalah bencana dan PDRM telah menggerakkan bantuan mengikut perkembangan semasa,"katanya.

Datuk Seri Ayob Khan ditemui dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE