TAWAU, 15 Januari - Sebanyak 714 kes penyeludupan barang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibanteras tahun lepas melibatkan nilai rampasan RM6.6 juta, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata dalam tempoh sama, kementeriannya menerima 250 kes serahan agensi lain membabitkan rampasan bernilai RM5.2 juta bagi akta sama termasuk 13 kes penyeludupan tong gas memasak, minyak masak, tepung gandum, minyak petrol dan gula (kesemuanya bernilai RM134,423) di Pulau Sebatik.
“Isu penyeludupan barang kawalan di sempadan antarabangsa Malaysia membabitkan Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura menjadi perhatian utama kementerian untuk ditangani," katanya selepas lawatan kerja ke Pulau Sebatik hari ini.
Beliau berkata penyeludupan berlaku antaranya disebabkan ketiadaan pusat kawalan di pintu masuk Malaysia-Indonesia.
"Selain itu, harga barang Malaysia yang jauh lebih murah berbanding negara jiran dan permintaan tinggi dari negara jiran serta pertalian kekeluargaan antara penduduk di sempadan turut menyukarkan kawalan," katanya.
Berikutan itu, Alexander berkata penguatkuasaan membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan perlu dipertingkat dan diperkasa kerana negara serta rakyat mengalami kerugian besar akibat kegiatan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya kerjasama dengan agensi lain termasuk Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) juga perlu diperkukuh antaranya dengan memperbanyak operasi bersepadu selain melaksanakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.
Beliau berkata masyarakat turut berperanan membantu kerajaan menangani kes penyeludupan barang kawalan di sempadan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
"Sepanjang tahun lepas, KPDNHEP menerima 416 aduan berkaitan penyeludupan barang kawalan, ini membantu penguat kuasa mengesan dan mengambil tindakan," katanya.
Alexander berkata KPDNHEP menyediakan pelbagai saluran aduan yang boleh dihubungi antaranya talian WhatsApp 019-2794 317, Pusat Panggilan 1-800-886-800; e-mel