KANGAR, 10 Disember - Sebanyak 700 set bakul makanan disumbangkan kepada 700 penduduk di 13 kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena secara berperingkat.
Sumbangan berkenaan disalurkan susulan banjir yang melanda Perlis pada 23 November hingga 6 Disember lalu, yang penduduk terjejas ketika ini sibuk membersihkan kediaman masing-masing.
Menurut Yang Dipertua Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri yang juga ADUN Sena, Marzita Mansor ketika dihubungi memaklumkan, usaha digerakkan bersama Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK), sukarelawan dan petugas Pusat Khidmat DUN Sena.
Inisiatif dilaksanakan bagi mengurangkan beban dihadapi penduduk ketika mengharungi bencana yang memusnahkan harta benda serta kerosakan kepada kediaman yang didiami sekeluarga serta sebagai sokongan moral dan berkongsi Rezeki.
Sumbangan disampaikan secara terus dari rumah ke rumah penduduk terjejas banjir atau di lokasi seperti dewan orang ramai
Pada masa sama kesempatan itu juga digunakan untuk meninjau dan mendekati setiap keluarga terjejas banjir bagi meneliti setiap permasalahan dihadapi ekoran banjir yang melanda sebelum ini.
Antara kampung yang menerima sumbangan bakul makanan berkenaan ialah Kampung Repoh, Kampung Dagang, Taman Sri Intan, Kampung Padang Petani, Kampung Tok Kandang, Kampung Lin, Kampung Baru, Kampung Sempering dan Kampung Tok Gong.