fb fb fb fb fb

700 penduduk Sabak Bernam rebut peluang berbelanja Jualan Mega Ehsan Aidilfitri

Sebahagian penduduk kampung di sekitar Sabak Bernam mulai menunggu di khemah Jualan Mega Ehsan Rahmah pagi tadi

SABAK BERNAM, 6 April - Kira kira 700 penduduk daerah Sabak Bernam tidak melepaskan peluang untuk berbelanja menerusi Jualan Mega Ehsan Aidilfitri bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada Rabu ini.

Orang ramai mula membanjiri Perkarangan Stesen Bas Sabak Bernam sejak pukul 6.30 pagi tadi untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah, walaupun jualan bermula seawal pukul 9 pagi.

Mereka yang ditemui Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyifatkan inisiatif jualan itu banyak memberi manfaat kepada rakyat bagi meringankan beban dalam menangani isu kos sara hidup.

"Bolehlah, ayam RM10, telur pun RM10 untuk kegunaan Hari Raya. Kami rasa gembira sebab ramai pengunjung-pengunjung yang datang tambahan pula harga berpatutan," kata Normah Abd Majid.

"Jualan Rahmah ini memang rahmah la memang murah, telur dengan harga RM10, kalau kat luar memang tak dapat la RM10, macam beras dapat dengan harga rahmah. Memang dapat la membantu macam kita ni B40 dengan harga murah dapat lah membantu kita serba sedikit," kata Selamat Harmoni.

"Saya rasa bersyukur, berpuas hati la, faham-faham la dengan zaman sekarang ini kan jadi amat-amat bersyukur semoga diperluaskan lagi unutk jualan dimana mana, Alhamdulillah lagi-lagi apabila nak raya ni," kata Zaiton Mat.

Sementra itu, Pengurus Besar Sektor Sekuriti Makanan dan Perladangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) Pongot Sajab berkata, hari ini sebanyak 1500 ekor ayam; beras 5 kilogram (kg) 600 kampit; telur 600 papan; daging sejuk beku 600 kg; minyak masak lima kilogram (kg) disediakan dalam jualan tersebut.

"Sudah pasti PKPS sudah  menyediakan persediaan akan membuat persediaan dan menyediakan bekalan mencukupi  bagi memastikan semua pelanggan  atau pengunjung yang datang mendapat bekalan yang sewajarnya  dan kita tidak mahu mereka hampa sempena menghadapi Hari Raya Aidilfitrni ini," katanya.

Sebelum ini Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri melibatkan 18 lokasi di Selangor sejak Rabu lalu hingga esok.

Sebanyak sembilan lokosi dikendalikan di bawah FAMA Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (empat) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) di lima lokasi.

Sepanjang lima hari jualan itu berlangsung, sebanyak 14,800 ekor ayam disediakan selain daging segar (6,100 kg), daging beku (2,000 kg), telur (9,400 papan), minyak (3,976 botol) dan beras (7,600 kampit).

GRACE AISYAH KEDAYAN