KOTA TINGGI, 7 Disember- Seramai 645 perajurit muda menamatkan Kursus Asas Tentera Laut (KATL), di Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, Johor, hari ini, semasa Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Siri 227/24.
Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Mohamad Azuwan Harun berkata, kesemua perajurit melibatkan 586 lelaki dan 59 wanita, menjalani latihan selama enam bulan.
Dalam ucapannya, kesemua perajurit diingatkan, untuk kekal menggalas amanah, mempertahankan kedaulatan negara, susulan pelbagai cabaran yang akan ditempuhi, pada masa akan datang.
"Kerana cabaran inilah yang mendewasakan kita, saya juga berharap anda semua terus bersemangat berpasukan atau bersama rakan sepejuangan yang telah dibina selama ini demi kecemerlangan dan kesejahteraan di masa hadapan.
"Jangan toleh ke belakang lagi, kuatkan tekad dan sempurnakan sumpah janji walaupun nyawa sebagai galang ganti," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM Siri 227/24.