
SERDANG, 24 Januari – Seramai 636 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia 2026 di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
- 636 graduan menerima Sijil Kemahiran Malaysia pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia 2026 di UPM.
- Latihan SKM dilaksanakan melalui sepenuh masa, Akademi Dalam Industri dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.
- TVET kini diterima sebagai laluan kerjaya utama dengan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 95 peratus.
Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Dr Kamaruzaman Md Ali berkata, graduan yang diraikan melibatkan pelbagai bidang kemahiran dan telah mencapai tahap kompetensi ditetapkan bagi Tahap 2 hingga Tahap 5 SKM.
Majlis konvokesyen berkenaan dianjurkan Persatuan Pembangun Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Nasional sebagai platform penyelarasan antara persatuan serta pusat latihan kemahiran dalam penganjuran program dan acara berkaitan TVET.
“Pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) berperanan sebagai badan akreditasi yang menetapkan standard, menilai serta mentauliahkan program, manakala latihan dilaksanakan sepenuhnya oleh pusat latihan bertauliah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia 2026 di Dewan Besar Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini.
Dr Kamaruzaman menjelaskan, ketika ini terdapat 2,012 Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang boleh diguna pakai pusat latihan untuk menawarkan program kemahiran kepada peserta.
Latihan kemahiran dilaksanakan menerusi tiga mod utama, iaitu latihan sepenuh masa, Akademi Dalam Industri (ADI) dan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang sesuai untuk pekerja sedia ada bagi tujuan peningkatan kemahiran atau penjenamaan semula kemahiran.
“Bagi mod ADI, 30 peratus latihan dilaksanakan di institusi latihan manakala baki 70 peratus di industri, sekali gus memastikan pendedahan sebenar kepada persekitaran pekerjaan,” katanya.
Mengulas berkenaan perkembangan TVET, sambutan terhadap program itu semakin meningkat selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12, sekali gus membuktikan TVET kini diterima sebagai laluan kerjaya utama, bukan lagi pilihan kedua.
Kadar kebolehpasaran graduan TVET berada pada paras melebihi 95 peratus, hasil pendekatan latihan berasaskan kompetensi yang menepati keperluan industri.
Sementara itu, Dr Kamaruzaman berkata tahap SKM ketika ini melibatkan Tahap 1 hingga Tahap 5, namun kerajaan melalui RMK13 akan merangka peluasan kepada Tahap 6, 7 dan 8 pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen pihaknya terhadap pendekatan inklusif, termasuk penglibatan golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, warga emas dan komuniti terpinggir menerusi pensijilan kemahiran penuh atau pensijilan modular SKM.
“Ke arah Malaysia sebagai negara menua menjelang 2030, latihan kemahiran berkaitan penjagaan warga emas dan perkhidmatan sosial akan diperkukuh secara lebih berstruktur melalui kerjasama pelbagai agensi,” katanya.