BINTULU, 13 April- Enam buah rumah teres satu tingkat musnah dalam satu kejadian kebakaran di Lorong B5, RPR Sebiew, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.26 tengah malam daripada seorang penduduk sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, api sedang marak membabitkan struktur rumah kekal bersaiz 20 meter x 30 meter.Tiga buah rumah musnah sepenuhnya, sebuah rumah terbakar 70 peratus manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 30 peratus.
Seramai 67 mangsa terjejas dalam kejadian ini namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran air dari jentera CFRT, FRT Scania dan tangki air (water tanker) sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya.
Turut membantu di lokasi ialah tujuh anggota Polis Diraja Malaysia dan tiga petugas dari SESCO.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.