
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Seramai 6.7 juta atau 82 peratus daripada keseluruhan 8.1 juta penerima telah menebus Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan, dengan nilai perbelanjaan hampir RM1 bilion setakat 1 Mac lalu.
- Inisiatif SARA Untuk Semua dicatatkan digunakan oleh 12.1 juta penerima, dengan perbelanjaan menghampiri RM1 bilion.
- Kenaikan penebusan bermula 9 Februari disebabkan penambahan kategori penerima dan peluasan barangan yang layak dibeli.
- Kerajaan mempermudah proses kelulusan Rakan Niaga SARA sambil mengekalkan kriteria pendaftaran, lesen premis dan penggunaan POS.
Bagi inisiatif SARA Untuk Semua pula, seramai 12.1 juta atau 54 peratus daripada keseluruhan rakyat yang layak telah menggunakan bantuan berkenaan, dengan nilai perbelanjaan turut menghampiri RM1 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata penebusan yang bermula pada 9 Februari lalu itu mencatatkan peningkatan susulan penambahan kategori penerima serta peluasan jenis barangan yang layak dibeli.
Mengulas aduan berhubung kelewatan kelulusan permohonan Rakan Niaga SARA, beliau berkata pihaknya menerima jumlah permohonan yang tinggi dan setiap permohonan diproses mengikut prosedur ditetapkan.
“Kerajaan akan terus memudah cara proses kelulusan dengan sasaran memproses sehingga 2,000 permohonan selepas dokumen lengkap diterima.
“Adalah penting untuk memastikan kriteria Rakan Niaga SARA dipatuhi, antaranya mempunyai pendaftaran perniagaan yang sah, lesen premis yang sah serta menggunakan sistem ‘point of sales’ (POS) bagi melindungi kepentingan rakyat, di samping memastikan integriti dan ketelusan pelaksanaan program SARA terus terpelihara,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin berhubung jumlah penerima SARA setakat ini dan nilai yang telah digunakan oleh rakyat.