KUALA LUMPUR, 18 Mac- Sebanyak 6.25 juta transaksi direkodkan menerusi Sistem Pembayaran Tol Secara Terbuka (SPT) menggunakan kad debit dan kredit bagi tempoh Oktober 2023 hingga Februari 2024.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, 68.17 peratus menggunakan kad debit, manakala selebihnya menggunakan kad kredit.
Sepanjang tempoh tersebut, transaksi pembayaran tol menggunakan kaedah SPT mencatatkan sebanyak 2.1 peratus daripada keseluruhan mod pembayaran tol di 11 lebuh raya.
"Pada masa kini terdapat 11 lebuh raya yang menggunakan kaedah pembayaran SPT. Ia termasuk Lebuh Raya Besraya, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuh Raya Butterworth-Kulim. Selain itu, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya serta Terowong SMART", katanya di Dewan Negara.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang ingin tahu peratusan pengguna yang menggunakan kad debit dan kad kredit di kesemua konsesi tol lebuh raya yang menyediakan perkhidmatan SPT.