58.8 peratus ahli KWSP belum capai tahap simpanan asas RM390,000

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mac– Seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sektor formal warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat akhir 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • 58.8 peratus ahli sektor formal belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi persaraan.
  • Kerajaan jangka kira-kira 60 peratus ahli boleh capai RM390,000 pada umur 60 jika terus mencarum konsisten.
  • KWSP perkenal penanda aras RIA untuk bantu ahli nilaikan kecukupan simpanan sebelum pengeluaran awal.
  • Langkah dipertingkat termasuk Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela dan program i-Saraan, i-Simpanan, i-Top Up.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata masih terdapat 4.42 juta atau 58.8 peratus ahli sektor formal yang belum mencapai tahap simpanan minimum yang disasarkan bagi memastikan kecukupan simpanan apabila bersara.

“Walau bagaimanapun berdasarkan unjuran semasa, menjelang tahun 2030 dianggarkan sekitar 60 peratus ahli (KWSP) berpotensi mencapai tahap simpanan asas iaitu sekitar RM390,000 pada umur 60 tahun sekiranya ahli terus mencarum secara konsisten dan mengekalkan simpanan mereka dalam akaun persaraan. Kerajaan melalui KWSP komited untuk memastikan hakisan simpanan asas akibat pengeluaran awal dapat dikawal dengan memperkenalkan penanda aras RIA (Kecukupan Pendapatan Persaraan),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

RIA berfungsi sebagai panduan kecukupan simpanan persaraan bagi membantu ahli menilai kedudukan simpanan mereka sebelum membuat keputusan pengeluaran.

Sekali gus menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang yang lebih berhemah.

Pada masa sama, pelbagai langkah memperkukuh simpanan terus dilaksanakan termasuk penstrukturan semula akaun KWSP dengan pengenalan Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela serta promosi lebih aktif melibatkan program i-Saraan, i-Simpanan dan i-Top Up.