fb fb fb fb fb

50 sukarelawan BSYJM bersedia bantu untuk pasca banjir di Pantai Timur

SIK, 2 MAC - Seramai 50 ahli Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM) akan digerakkan ke kawasan yang dilanda banjir di Pantai Timur dalam masa terdekat ini.

Pengarahnya, Mahadzir Abdul Hamid berkata, pihaknya kini sedang mengumpul maklumat berkaitan kawasan yang terjejas sebagai inisiatif pasca banjir.

"Dalam misi bantuan kali ini, kita lebih fokuskan kepada aktiviti pasca banjir seperti kerja pembersihan mencuci rumah yang diseliputi banjir lumpur.

"Misi ini juga akan memberikan sumbangan seperti bekalan makanan, pakaian, dan peralatan-peralatan kegunaan peribadi," kata kepada RTM di sini, hari ini.

(Pengarah BSYJM memberi sumbangan kepada penduduk terjejas banjir di Selangor pada Disember 2021)


Katanya, kelengkapan kenderaan seperti ambulan dan pacuan empat roda juga berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa.

Pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang bersimpati untuk menyalurkan sumbangan keperluan asas harian ke Pantai Timur.

Orang ramai yang berminat untuk menyalurkan sumbangan boleh menghantar ke Pusat Operasi BSYJM di Kampung Tala, Mukim Jeneri, di sini.

Sebelum ini, BSYJM pernah melaksanakan misi bantuan bencana banjir di Selangor pada penghujung tahun lalu.

Media Baharu