fb fb fb fb fb

5 keluarga sehelai sepinggang rumah terbakar

Foto Bomba

ARAU, 19 Januari - Lima sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang dihuni di Jalan Simpang Empat-Sungai Baru, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7.25 malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Zaidi Ma'at dalam satu kenyataaan berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima kira-kira pukul 7.32 malam.

"Tiga buah jentera berserta kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Empat dan Kuala Perlis serta Pasukan Bomba Sukarela Kuala Perlis  bersama-sama18 anggota diketuai Penolong Penguasa Bomba, Siti Nor Syuhada Haizad bergegas ke lokasi kebakaran," menurutnya.

Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan kediaman berkenaan berjaya dikawal pukul 9.52 malam dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 10.00 malam.

"Tiada mangsa yang cedera dan pihak forensik sedang mengumpulkan bukti bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran dan kesemua mangsa kini menumpang di rumah ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, pihaknya kini sedang meneliti keperluan keluarga berkenaan termasuk membina sebuah kediaman baharu.

TETITIA YUSOFF