fb fb fb fb fb

47 resort, chalet segera kemukakan Kebenaran Merancang sebelum hujung tahun

Foto FB J.Arul Kumar

SEREMBAN, 6 September - 47 pengusaha resort dan chalet di Negeri Sembilan diberikan tempoh pemutihan sehingga hujung tahun ini untuk mendapatkan kelulusan kebenaran merancang dan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC).

Kebanyakan rumah penginapan itu yang dibina di lereng bukit dikenal pasti berisiko dan beroperasi tanpa kebenaran dan dokumen CCC.

Ia melibatkan 40 unit di daerah Seremban, empat di Jelebu dan tiga di Rembau, kata Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.

Menurut beliau, notis pemakluman pemutihan pertama telah dikeluarkan pada 18 Januari lalu dan ada antara pengusaha sudah tampil memberikan maklum balas, meski pun masih ramai yang belum berbuat demikian. 
 
"Arahan penutupan premis boleh dikeluarkan mulai 1 januari 2025... ini adalah keputusan kerajaan negeri untuk tindakan penguatkuasaan diambil tapi kita masih teruskan tempoh pemutihan ini dan berikan ruang lagi empat bulan," ujarnya semasa bercakap di Wisma Negeri, di sini. 

Jelas Arul, tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan dan penutupan premis boleh diambil bagi memastikan semua tempat penginapan selamat dan bebas daripada sebarang risiko. 

PBT terlibat akan mengeluarkan Notis Permintaan Mengemukakan Kebenaran Merancang (KM) kepada semua pengusaha resort atau chalet yang terbabit sebelum hujung tahun, katanya.

 

Trainee2