
DUNGUN, 9 Februari -Kira-kira 400 penduduk Kampung Padang Ping, di sini, cemas dengan kehadiran seekor beruang matahari yang berkeliaran sejak tiga hari lepas, di kawasan kampung mereka.
- Perhilitan pasang perangkap di lokasi beruang sering berkeliaran untuk kawal keadaan dan lindungi penduduk.
- Beruang matahari dipercayai tersesat dari hutan berhampiran dan masuk kampung cari makanan waktu malam.
- Penduduk cemas kerana beruang semakin menghampiri rumah, mengganggu rutin harian dan aktiviti kebun.
- Risau keselamatan kanak-kanak; penduduk dinasihatkan berwaspada dan elak mengejutkan atau mendekati beruang.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang sebuah perangkap di lokasi beruang berkenaan sering berkeliaran.
“Penduduk kampung dinasihatkan berkenaan sentiasa berwaspada dan berhati-hati demi menjaga keselamatan mereka serta mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari hutan berhampiran dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan terutama pada waktu malam.
Situasi itu amat membimbangkan apabila beruang berkenaan sudah semakin menghampiri rumah penduduk khususnya pada waktu petang dan malam menyebabkan penduduk takut untuk keluar ke kebun dan menjalani rutin harian.
“Kehadiran beruang ini berbahaya, terutamanya kepada kanak-kanak. Kita tidak boleh mengejutkannya kerana ia akan menjadi agresif. Beruang ini takut pada orang yang cuba menyentuh atau mencucuk matanya,” kata penduduk Rohani Hamzah Ahmad.
“Kita risau sekiranya pintu terbuka, beruang ini mungkin masuk ke dalam rumah kerana ia sering bermain di belakang rumah. Keadaan ini membimbangkan, terutamanya jika anak-anak keluar rumah pada waktu malam untuk ke kedai atau balik lewat,” Rohani Mat Nor.
“Keadaan ini amat berbahaya, terutamanya apabila anak-anak pulang pada waktu tengah malam. Kita bimbang beruang itu mungkin menyerang atau mencederakan mereka,” Jantan Abdul Rahman.