fb fb fb fb fb

427 permit jualan bunga api diluluskan di Terengganu sepanjang Ramadan

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin / Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 10 Mac-Kira-kira 427 permit atau lesen menjual bunga api dikeluarkan Polis Terengganu kepada peniaga untuk aktiviti penjualan secara terbuka sepanjang Ramadan setakat ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata 516 permohonan telah diterima dari semua daerah.

Jelasnya, kelulusan hanya diberikan kepada peniaga yang boleh mematuhi segala peraturan ditetapkan sahaja.

"Kita panggil semua pemohon yang berjaya dan beritahu mereka apa yang boleh serta tidak boleh.

"Contohnya hanya permit asal boleh dipamerkan, manakala salinan tidak dibenarkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut hari ini.

Menurutnya, Kuala Terengganu mencatatkan bilangan pemohon tertinggi iaitu 180 tetapi hanya 157 permit diluluskan.

Mohd Khairi berkata polis turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penyeludupan dan penyimpanan mercun secara haram.

“Polis akan membuat operasi dan pemantauan secara berterusan termasuk melakukan sekatan jalan raya berkala ataupun operasi snap check di lokasi yang dirasakan perlu.

“Orang ramai juga dialu-alukan menyampaikan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui ada tempat penyimpanan mercun secara haram,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD