KUALA LUMPUR, 25 November- Sebanyak 422 permohonan bagi pelaksanaan program Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) telah diluluskan untuk tahun 2024 melibatkan peruntukan berjumlah RM46.1 juta.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kerajaan melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan RM50 juta lagi untuk meneruskan inisiatif tersebut.
"Sehubungan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 200 RIBI menerima peruntukan maksimum RM250,000 bagi setiap RIBI.
"Sasaran ini boleh ditingkatkan sekiranya jumlah permohonan tidak melebihi had maksimum ditetapkan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berhubung statistik kelulusan projek RIBI di Dewan Rakyat hari ini.
Perak mencatatkan jumlah kelulusan RIBI tertinggi dengan 87 projek, diikuti Selangor (60), Johor (48) dan Sabah (40).
KPKT juga sedang meminda garis panduan permohonan program RIBI bagi memastikan tiada premis yang menerima peruntukan berulang.
Pindaan itu akan memasukkan syarat mana-mana RIBI yang sudah menerima peruntukan, tidak dibenarkan membuat permohonan dalam tempoh tiga tahun.
Aiman berkata prosedur pemproses permohonan sama ada secara terus atau menerusi sistem e-RIBI akan disaring kementerian, sebelum dinilai pasukan penilaian dan pemantauan.
"Permohonan kemudian akan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas inisiatif penyenggaraan RIBI di seluruh negara peringkat KPKT. Kekerapan mesyuarat akan dipergiat berdasarkan permohonan dimajukan dengan ia akan dipengerusikan Ketua Setiausaha KPKT.
"Semasa proses saringan, permohonan akan diteliti dan ia akan digugurkan jika (dikenal pasti) pernah menerima bantuan peruntukan," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib mengenai usaha KPKT memastikan peruntukan penyenggaraan RIBI tidak diberikan kepada rumah ibadat sama setiap tahun.