fb fb fb fb fb

JIM Johor tahan 42 warga asing salah guna pas lawatan sosial

FOTO JIM JOHOR

JOHOR BAHRU, 29 Mac- Seramai 42 pekerja warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di sini kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Kesemua mereka ditahan menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu yang dijalankan di Taman Desa Cemerlang, sini, sekitar pukul 12.20 tengah malam tadi.

Pengarah JIM negeri, Baharuddin Tahir berkata, tangkapan membabitkan lapan lelaki warga Thailand yang bekerja di premis memproses dan membungkus keropok ikan tanpa lesen.

Dalam operasi berasingan, 13 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar, empat lelaki Bangladesh, enam wanita Indonesia, dua lelaki dan seorang wanita India bersama seorang lelaki Pakistan ditahan kerana tiada permit sah dan tinggal lebih masa. 

Kes itu disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Baharuddin turut mengingatkan semua pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang bermula 1 Mac lalu hingga 31 Disember tahun ini bagi membolehkan PATI pulang secara sukarela. 

SITI AISHAH MD ISA