fb fb fb fb fb

4 keluarga nelayan Tanjung Dawai terima geran tanah selepas 40 tahun penantian

Ahmad Zulkifli Ismail menyerahkan geran tanah kepada salah seorang penerima

TANJUNG DAWAI, 13 April- Kemeriahan Aidilfitri kali ini membawa sinar berganda buat empat keluarga nelayan apabila mereka akhirnya menerima geran tanah yang telah dinantikan lebih empat dekad.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM55 juta bagi membaik pulih dan membina rumah baharu untuk nelayan di seluruh negeri sejak 40 tahun lalu.

Katanya, setiap penerima rumah perlu membuat bayaran ansuran bulanan seperti yang dipersetujui, dan selepas bayaran penuh dilunaskan, geran akan diserahkan kepada ketua isi rumah berkenaan.

“LKIM sangat komited menjaga kebajikan keluarga nelayan termasuk dari aspek ekonomi dan sosial,” katanya semasa majlis penyerahan geran.

Sejak tahun 1980-an, bayaran bulanan bagi rumah nelayan bermula serendah RM50 sebulan, dan kini untuk rumah baharu, bayaran ditetapkan sekitar RM150 sebulan. Sebanyak 100 rumah konsep Unit Keluarga (KUK) telah diberikan geran secara rasmi setakat ini.

Bagi salah seorang penerima, Jamaliah Ahmad, 63, Aidilfitri kali ini cukup bermakna buatnya.

“Alhamdulillah, sebelum ini rumah ini dibiayai oleh suami saya dengan hasil titik peluh dia sebagai nelayan, dengan kadar bayaran sebanyak RM50 sebulan,” katanya selepas majlis tersebut.

Jamaliah yang kehilangan suaminya, Abdullah Daud, sejak 1994, terus menyambung bayaran secara sendirian sehingga berjaya memperoleh geran pemilikan tanah tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE