BATU NIAH, 9 Disember - Seramai 375 penduduk dari dua rumah panjang Rumah Aron Skim dan Rumah Lumpoh di Sepupok, Batu Niah dipindahkan kira-kira pukul 3.00 pagi tadi selepas kawasan berkenaan dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak petang semalam.
Ketua Bomba Dan Penyelamat Batu Niah Pegawai Bomba Tinggi ll Rary Binjie yang dihubungi RTM memaklumkan tiada pertambahan penduduk yang berpindah setakat pukul 8.30 pagi tadi.
"Paras air Masih sama tiada peningkatan berikutan hujan turun tidak selebat semalam dan awal pagi tadi.Pihak kami diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I Jeffery Majin bersama enam anggota dengan sebuah jentera digerakkan ke lokasi.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.30 tengah malam tadi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian," katanya.
Setibanya di lokasi, paras air didapati naik dengan cepat dan mengenggelamkan kawasan sekitar dua rumah panjang tersebut. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemindahan dan memastikan keselamatan semua penghuni.
Seramai 119 mangsa dari Rumah Lumpoh dan 256 mangsa dari Rumah Aron Skim dipindahkan ke kediaman saudara-mara terdekat. Bagaimnaapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Operasi pemindahan penduduk di kawasan tersbut tamat pada pukul 6.21 pagi tadi dan tiada kecederaan dilaporkan.